Islam

Aku berdoa,”Ya Allah aku nak minum kopi,Ya Allah aku nak minum kopi,” Tiba-tiba…

Hasil belajar tauhid setakat ini dari Aa Gym, Ustaz Hannan Attaki dan Ustazah Teh Haneen Akira:

Kalau nak apa-apa sekali pun, minta ke Allah. Hatta kalau nak garam sekalipun, minta ke Allah dulu meskipun syariatnya nanti kita yang pergi beli di kedai.

Hanya Allah yang boleh membolak-balikkan hati manusia.

Hanya Allah yang berkuasa ke atas segala sesuatu.

Semuanya bergantung kepada Allah.

Kalau Allah tak bagi, tak ada sesiapa dapat bagi. Kalau Allah nak bagi, tak ada sesiapa dapat menghalangi.

Makanya bersegeralah melaksanakan perintah Allah yang wajib dan tambahlah dengan yang sunnah dan jangan berbuat perkara yang Allah tidak suka dan lazimkanlah bertaubat (beristighfar) supaya dicintai Allah.

Allah Maha Baik. Asy-Syakur: Maha Mensyukuri, Maha Menghargai.

Tadi siang aku lagi stress. Biasanya bila stress aku suka minum kopi kasi booster energy dan mood. Tapi aku takde duit dah. Duit aku habis teruk. Kosong. Tapi aku teringiiiiiin sangat minum kopi. Aku pun minta sama Allah, “Ya Allah, aku nak minum kopi. Ya Allah, aku nak sangat minum kopi.” Lepas minta minum kopi aku jadi lapar juga ya. Aku pun minta dapat makan yang enak-enak tapi dalam hati tu terdetik nak makan pisang goreng dengan keropok lekor macam yang kawan ofis aku selalu beli. Terus menerus minta sama Allah sambil bekerja. Sambil istighfar. Sambil berzikir.

Tak lama lepas tu aku gerak ke meja dispenser air. Aku pun buka laci nak ambil cawan untuk minum air. Tersalah buka laci, jumpa satu beg kopi pra-campuran yang dah lama aku lupakan. Ya Allah. Memang betul-betul kau bagi aku minum kopi! Bukan satu tapi dua cawan aku bancuh.

Tengok Maha Baiknya Allah.

Aku tu selalunya sengaja lewat-lewatkan solat Asar gara-gara kerja. Pulang ke rumah dulu baru solat. Tapi aku dah lama berazam nak solat Asar awal waktu tapi aku harus jaga wudhuk sebab kalau tak, aku mesti akan ambil masa yang lama untuk solat.

Sebab stress tadi dan juga sebab tak nak sampai rumah lewat gara-gara nak siapkan kerja lalu jadi solat Asar lima minit sebelum azan Maghrib, aku teringat kata Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam kepada Bilal, “Wahai Bilal, rehatkan kami dengan solat.” aku pun pergi ke surau. Ambil wudhuk. Solat. Kembali ke pejabat. Masa tengah nak sambung kerja, aku teringat nak ambil sesuatu dari seseorang di tingkat atas. Aku pun ambil lif. Tapi bila sampai kat atas, aku jadi lupa apa yang aku nak buat dan siapa yang aku nak jumpa. Aku pun mundar-mandir sambil tanya kawan “Aku nak buat apa tadi ah?”

Jadi lagi satu perkara ajaib besar.

Ada kawan yang beli pisang goreng dan keropok lekor ajak aku makan!

Aku pun makanlah hahahha. Banyak juga. Tanpa segan silu. Sambil bersyukur Allah bagi aku betul-betul apa yang aku nak.

Aku pun teringat cerita Ustaz Hannan dapat beli rumah yang bernilai Rp. 700 juta dengan harga Rp. 300- 350 juta asbab solat Asar awal waktu berjemaah di masjid dengan isterinya sekali. Dia jumpa dengan orang yang nak jual rumah tu dekat masjid selesai solat.

Aku tadi lepas solat Asar awal waktu terus dapat makan apa yang aku teringin nak makan. Tak payah keluar sesen pun. Tak payah meminta-meminta “belanjalah aku, belanjalah aku” kat sesiapa. Minta kat Allah je. Gerenti dapat, imej pun terjaga.

Dengan syarat: Buat cepat apa yang Allah suruh. Buat lebih-lebih sikit. Yang Allah tak suka, tinggalkan. Kalau terbuat, cepat-cepat istighfar. Buat lebih – Solat fardhu berjemaah. Sunat Dhuha, Tahajjud, Witir, sadaqah. Zikir daripada menyanyi-nyanyi. Istighfar setiap waktu sebab belum pernah ke kita dengar kisah pembuat roti yang dapat berjumpa dengan Imam Ahmad asbab istighfarnya setiap masa kepada Allah. Nangis Imam Ahmad. Benarlah janji Allah.

“Mana ada perintah menyelesaikan masalah. Yang ada perintah bertaqwa kepada Allah. Nanti Allah yang selesaikan masalah.” – Aa Gym.

DAN YANG PALING PENTING: Hanya minta dan berharap kepada Allah sahaja (percaya bulat hanya Allah sumber segala-galanya. Kalau Allah tak beri, takde siapa dapat beri). Tapi bila mengharap, jangan tentukan hasilnya datang dari mana, bagaimana. Sebab Allah punya lebih daripada 100000000001 cara nak bagi apa-apa pun kepada sesiapa pun tanpa perlu bersandar pada logik akal.

Nanti Allah ciptakan keajaiban: Rezeki datang dari arah yang tak langsung disangka-sangka.

P/S: Balik lewat malam, aku lapar. Sambil jalan balik, aku minta kat Allah, “Ya Allah, aku nak makan. Ya Allah, aku nak makan, Ya Allah.” Sampai rumah, nasi petang semalam aku masak masih elok. Tak basi lagi padahal dah lebih 24 jam. Ajaib ke sangat ajaib?

Fa amma bini’mati Rabbika fahaddith.

– Aisyah

Sumber: iiumc.com

Facebook Comments

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TERKINI

Menyediakan perkongsian blog,berita serta kisah-kisah menarik untuk anda

Hak Cipta Terpelihara © 2018 SuaraMedia.org

To Top