Berita

Anak merengek nak ayam goreng

Gua Musang: Kedaifan menyebabkan tujuh beranak tinggal di rumah pusaka di Kampung Anai, Limau Kasturi di sini, walaupun kediaman itu sudah reput.

Khatijah Abdullah, 36, berkata, rumah pusaka peninggalan bapanya itu berusia lebih 30 tahun dan keadaannya sangat uzur.

Menurutnya, suaminya, Mohd Yusoff Abdullah, 39, hanya mempunyai pendapatan sekitar RM500 sebulan hasil menoreh getah dan ia tidak cukup untuk mereka sekeluarga.

“Adakalanya kami terpaksa berjimat hingga sanggup makan nasi berlaukkan ikan kering dan berkuahkan budu saja.

“Menitis air mata saya apabila anak asyik minta ayam goreng terutama bulan puasa ini, tetapi saya beritahu tak mampu membelinya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Khatijah berkata, dia mempunyai lima anak berusia setahun hingga 14 tahun termasuk dua yang belajar di sekolah rendah dan dua sekolah menengah.

Katanya, empat anaknya sebelum ini kerap ponteng sekolah kerana tidak dapat menyediakan wang saku kepada mereka selain tidak mampu bayar tambang kenderaan.

“Empat kali kami buat permohonan membina rumah melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), tetapi hingga kini tiada jawapan.

“Kami buntu memikirkan kesempitan hidup kami, rumah ini terlalu daif dan setiap kali hujan terpaksa menggunakan baldi untuk menadah air kerana zink bocor,” katanya.

Menurutnya, paling sedih apabila anaknya tidur dalam keadaan basah setiap kali hujan.

“Kami juga sudah dua tahun tidak membeli baju raya untuk anak tetapi nasib baiklah mereka faham dengan kemiskinan dan memakai pakaian sedia ada,” katanya.

 

Sumber: hmetro.com.my

Facebook Comments

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TERKINI

Menyediakan perkongsian blog,berita serta kisah-kisah menarik untuk anda

Hak Cipta Terpelihara © 2018 SuaraMedia.org

To Top