Islam

Benarkah zakat haram bayar di negeri lain selain tempat kerja? Ini jawapannya

KUALA LUMPUR 12 Julai – Tempat pembayaran zakat fitrah tidak sepatutnya dijadikan polemik dalam masyarakat Islam negara ini kerana rukun Islam keempat itu boleh ditunaikan di mana-mana sahaja selagi tidak melepasi waktu wajib pembayarannya.

Eksekutif Dakwah Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ahmad Husni Abd. Rahman bagaimanapun berkata, secara asasnya, zakat fitrah mahupun zakat harta lebih afdal dibayar di tempat individu itu mencari rezeki.

Adapun bagi kes zakat fitrah, jelas beliau, ia berkaitan dengan waktu wajib membayar zakat fitrah iaitu ketika terbenam matahari hari terakhir Ramadan sehingga pagi Hari Raya sebelum solat sunat Aidilfitri.

Oleh itu, katanya, mana-mana individu yang belum membuat pembayaran zakat fitrah boleh membayar di mana sahaja dia berada pada waktu wajib itu tidak kira di tempat dia mencari rezeki atau di kampung, dan zakat itu sah dan tidak berdosa.

“Dalam hal ini, perkara yang melibatkan fitrah ada keluasan dan kelonggarannya dari sudut hukum fikah, kita tidak perlu terlalu rigid kepada satu pandangan sahaja sehingga kesukaran berlaku atau terus menjatuhkan hukum haram dengan maksud perpindahan wang zakat itu ke tempat bukan mencari rezeki,” katanya.

“Kita tidak mahu isu tempat pembayaran zakat ini dijadikan polemik kerana ia tidak berdosa untuk menunaikannya di mana sahaja kerana apa yang penting bayaran zakat mesti dibuat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abd. Rahman Osman berkata, pembayaran zakat fitrah lebih afdal ditunaikan di tempat seseorang itu mencari rezeki.

Namun, katanya, soal tempat tidak menjadi isu dan tidak berdosa jika ditunaikan di mana sahaja asalkan pembayaran zakat fitrah itu disempurnakan.

“Tempat pembayaran zakat ini adalah mengikut arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negeri, jika kita membayar di tempat bukan mencari rezeki bermakna kita hanya dianggap melanggar arahan tersebut tetapi tidak sampai kepada hukum haram atau berdosa,” katanya.

Sumber: utusan.com.my

Facebook Comments

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TERKINI

Menyediakan perkongsian blog,berita serta kisah-kisah menarik untuk anda

Hak Cipta Terpelihara © 2018 SuaraMedia.org

To Top