Berita

“Kakak dah tak ada, saya tak tahu dengan siapa lagi saya nak bergaduh dan bermanja,” kata Muhammad Addim Roslan

“KAKAK dah tak ada, saya tak tahu dengan siapa lagi saya nak bergaduh dan bermanja,” kata Muhammad Addim Roslan, 10, adik bongsu kepada pelajar yang maut terkena bilah mesin rumput di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas, hari ini.

Muhammad Addim yang masih sebak dan sesekali mengalirkan air mata berkata, dia mengetahui kejadian menimpa kakaknya apabila diberitahu oleh ibu saudaranya, Norizzah Samat, 53, yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kelamah, di sini…

“Mak cik tiba-tiba datang ke kelas dan memberitahu mahu membawa saya pulang. Dia kemudian beritahu kakak sudah meninggal dunia, menyebabkan saya meraung kerana terlalu sedih dan terkejut.

Kakak sangat rapat dengan saya. Dia yang selalu ajar buat kerja sekolah. Dia kawan bermain dan bergaduh.. selepas ni saya tak tahu nak bermanja dengan siapa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di FELDA Sungai Kelamah di sini, hari ini.

Dalam kejadian 10.30 pagi tadi, kakaknya, Nur Afini, 14, meninggal dunia di padang sekolah berkenaan, akibat parah apabila kepalanya terpotong dua dipercayai selepas terkena bilah pisau mesin berkenaan yang melayang.

Dua rakannya pula, Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, cedera ringan masing-masing pada telinga dan belakang kepala.

Sementara itu, Norizzah berkata, dia yang sedang mengajar menerima panggilan abangnya, Roslan Samat, 55, memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

“Saya segera ke kelas Muhammad Addim dan memberitahu kakaknya sudah tiada. Ketika itu dia menangis dan menyebut nama kakaknya banyak kali,” katanya.

Katanya, arwah yang juga anak keempat daripada lima beradik sebelum ini belajar di sebuah sekolah di Pahang dan menetap di Kuantan.

“Selepas abang (Roslan) bersara daripada sebuah syarikat swasta di Kuantan, dia membawa arwah dan adiknya pulang ke kampung di Gemas untuk menguruskan tanah rancangan FELDA. Mereka baru saja berpindah awal bulan lalu,” katanya.

Katanya, arwah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA itu malam ini.

Sementara itu, rakan sekolah mangsa, Mohd Edzlidin Mohd Nor, 14, berkata, lebih 50 orang pelajar sedang menjalani latihan perbarisan mengikut rumah sukan sebagai persiapan untuk hari sukan sekolah, yang dijadualkan esok.

“Saya diberitahu rakan yang menyaksikan kejadian itu, traktor berkenaan berada berhampiran dengan pelajar ketika kejadian sebelum bilah pisau mesin rumput tercabut dan terkena tiga pelajar termasuk Nur Afini.

“Keadaan menjadi kecoh dan ramai pelajar menjerit dan menangis ketakutan melihat Nur Afini mengalami kecederaan parah pada kepalanya,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah itu, Mohd Yusoff Ismail, 63, meminta semua pihak menghentikan penyebaran gambar mangsa yang maut dalam keadaan tragis.

“Kami berharap orang ramai menghormati perasaan keluarga mangsa dengan tidak menyebarkan gambar sedemikian. Kami berharap keluarganya bersabar dengan kejadian yang berlaku,” katanya ketika ditemui di sekolah itu.
Ada peraturan potong rumput sekolah
JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh berkenaan insiden pelajar perempuan maut akibat terkena bilah traktor mesin rumput di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abd Rahman, Gemas, Seremban, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli berkata, ketika ini JPN juga masih menyiasat apa aktiviti yang dijalankan sehingga menyebabkan kejadian itu.

“JPN sudah menetapkan peraturan bagi kontraktor menjalankan kerja pembersihan di setiap sekolah termasuk waktu dan situasi yang sesuai.

“Ini yang kita nak siasat sama ada kontraktor ini mendapat kebenaran atau sebaliknya untuk memotong rumput di padang sekolah itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, hari ini.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, Nur Afini Roslan, 14, meninggal dunia di tempat kejadian selepas kepalanya terpotong dua dipercayai selepas terkena bilah berkenaan.

Dua rakannya Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, pula hanya mengalami cedera ringan dalam insiden itu.

Sumber: Harian Metro
Via: Kisah Rumah Tangga

Facebook Comments

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Menyediakan perkongsian blog,berita serta kisah-kisah menarik untuk anda

Hak Cipta Terpelihara © 2018 SuaraMedia.org

To Top