Berita

Kejut tauke mercun

Alor Setar: Tindakan seorang lelaki menyimpan pelbagai jenis bunga api dan mercun bernilai hampir RM24,000 di rumahnya di Tanah Merah, Pendang, dekat sini, terbongkar dalam serbuan pihak berkuasa, semalam.

Dalam serbuan jam 11 pagi itu, lelaki berusia awal 30-an itu dipercayai sedang berehat di rumahnya sebelum didatangi anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) yang menerima maklumat berhubung kegiatan penyeludupan mercun.

Komander AKSEM Kedah, Abd Latif Abdul Rahman berkata, pemeriksaan menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api dalam sebuah bilik serta ruang tamu rumah.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan sama ada bahan letupan itu diseludup dari Thailand melalui Bukit Kayu Hitam, Kota Putra di Durian Burung atau melalui Pulau Pinang.

“Antara yang dirampas ialah mercun bola dan bunga api jenis Happy Boom, Thunder Clap dan bunga api yang dilarang penjualan di negara ini.

“Pemeriksaan mendapati suspek yang juga peniaga itu bukan kali pertama menjalankan kegiatan menyeludup mercun dan bunga api itu, malah kami syak mungkin dia sudah beberapa kali melakukannya.

“Berikutan itu, anggota kami menahannya untuk membantu siasatan termasuk barangan berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Pejabat AKSEM Kedah di Bangunan Persekutuan, di Anak Bukit, semalam.

Abd Latiff berkata, pihaknya percaya suspek dipercayai menjual bunga api dan mercun itu di pasaran sekitar Pendang sempena Aidilfitri ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya suspek menyimpan stok bunga api dan mercun itu sebelum dijual kepada peniaga kecil-kecilan dengan cara bersembunyi.

“Dengan zaman teknologi canggih sekarang ini, tidak mustahil mercun dan bunga api boleh dijual melalui WhatsApp, WeChat atau Facebook untuk mengaut keuntungan.

“Bagaimanapun kita akan memantau pergerakan penyeludup sekiranya memperoleh maklumat tepat berhubung penjualan mercun dan bunga api,” katanya.

Facebook Comments

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TERKINI

Menyediakan perkongsian blog,berita serta kisah-kisah menarik untuk anda

Hak Cipta Terpelihara © 2018 SuaraMedia.org

To Top