Berita

KP SPRM dedahkan beliau pernah diugut & diintip ketika siasat 1MDB dulu

22 Mei – Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia yang baharu, Dato’ Sri Haji Mohd Shukri Abdul telah mengadakan satu sidang media di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Beliau tampil dalam sidang media tersebut dan menceritakan pengalaman beliau ketika menyiasat kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum beliau dikatakan bersara awal sebelum sempat menyelesaikan kes tersebut.

Mohd Shukri mengaku menerima pelbagai ugutan dan ancaman daripada pihak-pihak yang terlibat dalam kes tersebut ketika siasatan sedang dijalankan. Beliau juga dikatakan diugut dipecat dan dipaksa bersara awal.

Atas faktor keselamatan diri dan keluarga, beliau mengambil keputusan untuk bersara dan berpindah ke Amerika Syarikat bersama keluarga. Shukri juga mengatakan sehingga ke Amerika Syarikat juga masih ada orang-orang mengintip dan mengambil gambar beliau.

Ketika beliau berada di AS, kakitangan SPRM yang bertugas dibawah beliau dalam siasatan tersebut ada yang telah diberhentikan dan 2 anggotanya dipindahkan serta-merta. Tidak dapat menahan sebak, beliau menitiskan air mata ketika berkongsi pengalaman itu.

Beliau juga berani mengaku ketika sidang media tersebut bahawa ketika siasatan sedang dijalankan hanya beberapa menteri sahaja yang berani bersuara ketika itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhiyidin Yassin dan Datuk Seri Shapie Apdal.

 

Sumber: siakapkeli.my

Kerajaan tubuh pasukan khas siasat kes 1MDB

KERAJAAN menubuhkan Pasukan Khas Siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes 1MDB, pengesanan dan rampasan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan kesalahan jenayah dalam pengurusan syarikat berkenaan.

Pejabat Perdana Menteri hari ini memaklumkan, pasukan khas berkenaan ditubuhkan selepas dipersetujui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, pasukan khas itu akan diketuai bersama bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato Seri Mohd Shukri Abdull dan bekas pegawai kanan Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid bin Bador.

“Keanggotaan pasukan ini akan terdiri daripada SPRM, Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan beberapa peguam yang mempunyai kepakaran dalam perkara berkaitan.

“Pasukan khas ini akan bertanggungjawab dalam keseluruhan aspek penyelarasan siasatan, pengesanan kewangan dan perolehan aset yang berpunca dari salah laku dan penyelewengan dana 1MDB yang tersimpan atau dilaburkan di dalam dan luar negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, pasukan khas itu juga bertanggungjawab untuk mendapatkan kerjasama dengan pelbagai pihak agensi penguatkuasaan Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Kanada dan lain-lain negara yang berkaitan.

“Kerajaan berharap penubuhan pasukan khas ini dengan pembabitan pelbagai agensi penguatkuasaan akan berupaya mengembalikan maruah negara yang tercemar selama ini, selain mengembalikan wang dan aset rakyat Malaysia berikutan skandal kleptokrasi hasil salah laku dan penyelewengan dana 1MDB,” katanya.

hmetro.com.my

Mengapa pasukan khas siasat 1MDB ditubuhkan? Ini jawapan KP SPRM

KUALA LUMPUR: Penubuhan pasukan khas bagi menyiasat secara terperinci kes 1Malaysian Develpoment Berhad (1MDB) adalah bagi memastikan gerak kerja berjalan lancar.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, pasukan khas ini akan memudahkan kerja kerana proses ini tidak boleh dijalankan secara sendirian.

“Kita perlukan kerjasama antara agensi lain seperti polis, pejabat peguam negara dan bank negara supaya perjalan kerja lebih terancang.

“Kerjasama ini kita lakukan secara strategi bagi mengkordinasi kes ini (1MDB),” katanya ketika dihubungi.

Kerajaan hari ini mengumumkan penubuhan pasukan khas yang akan diketuai bersama beberapa tokoh berprofil tinggi bagi menyiasat secara terperinci kes 1MDB.

Pasukan khas itu diketuai bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Mohd Shukri dan bekas Pegawai Kanan Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador.

1MDB ialah syarikat pelaburan milik kerajaan yang dibabitkan dengan dakwaan salah laku serta penyelewengan dana awam.

Ia juga dikaitkan secara langsung dengan Datuk Seri Najib Razak yang kini menjadi anggota parlimen pembangkang.

 

Sumber: astroawani.com

Facebook Comments

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TERKINI

Menyediakan perkongsian blog,berita serta kisah-kisah menarik untuk anda

Hak Cipta Terpelihara © 2018 SuaraMedia.org

To Top