Islam

Macam tak percaya,tapi ini hakikat.Agama menjadi umpan terbaik menjerat mangsa.

“Malang nasib saya, ditipu sang ustaz. Sangka saya dia benar ustaz pembimbing manusia ke jalan Tuhan, rupanya dia adalah syaitan berbaju ustaz. Bukan setakat wang dan harta saya dikikis, ‘raga’ saya pun hampir diragutnya.”

Agama adalah ‘manual’ pembimbing manusia. Manusia tidak mampu hidup sebagai manusia yang hakiki tanpa bimbingan agama.

Manusia yang tidak beragama seumpama layang-layang tidak bertali, walau bebas terbang di udara tanpa batas namun kesudahannya merana jatuh terhempas tidak berkubur.

Pun begitu, agama juga boleh menjadi racun berbisa jika tiada keikhlasan di hati.

Ramai juga anak gadis dan wanita naif terjerat dengan ‘tazkirah ala malaikat’ pemangsa yang memulakan langkah mengumpan dengan perwatakan ‘super’ alim.

Siapa yang tidak mahu bakal suami atau pasangan hidup yang warak, alim dan mampu menjadi nakhoda ke syurga?

Malangnya pemangsa hanya menggunakan agama sebagai umpan kerana ia sangat senang disambar oleh sesiapa sahaja.

Selain itu, ramai yang sanggup membunuh manusia tidak bersalah atas nama agama dan jihad walaupun ia sebenarnya hanya ‘jahat.’

Agama juga menjadi lubuk rezeki oleh sesetengah pihak. Upacara agama atau doa boleh sahaja ‘diswastakan’ kepada pihak yang fasih menggantikan yang tidak fasih. Asal bayarannya cukup semua boleh jadi.

Ketika manusia moden semakin kehausan rohaninya, muncul ‘kapitalis agama’ yang giat melahirkan berbagai produk ajaib berasaskan agama.

Produk agama itu menjanjikan ‘bulan, bintang dan syurga aras ketujuh’ kepada para pengguna. Telan sahaja produk mereka dengan iringan bismillah dan selawat, segala masalah fizikal dan rohani akan hilang sama sekali.

Nampaknya lafaz bismillah dan selawat yang disarankan sang kapitalis agama sebelum menelan produk mereka tidak jauh bezanya serapah syirik bomoh yang menutup lafaz serapah mereka dengan lafaz samara;

“Dengan berkat Laa Ilaha Illah.”

Pencipta produk ini mendakwa manusia yang hatinya keras membatu akan mudah menerima nasihat kerana berkat produk yang sudah di’Tahfiz’kan oleh bacaan kaset atau Cakera Padat.

Elok benar agar produk ajaib ini dihantar kepada pembunuh rakyat Syiria, mudah-mudahan hati mereka menjadi baik setelah menelannya, lalu kuranglah berlaku pembunuhan rakyat yang tak berdosa.

Fenomena ini bukan baru rupanya, tetapi ulangan sejarah manusia semenjak ribuan tahun. Al-Quran menyebut para pendeta Yahudi dan Nasrani pernah menjadi pedagang agama yang sangat tidak bermoral;

Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli ugama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (ugama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.Surah al-Taubah 9:34

Akhir kata, marilah kita berdoa seikhlas hati agar tidak menjadi kapitalis agama yang memperdagangkan agama secara hina.

Jadikan agama sebagai bahtera penyelamat yang membebaskan manusia dari lemas dalam syirik, khurafat dan kezaliman.

 
Benarkah Wujud Kuasa Ajaib Dalam Ubatan Anda?
 

Penulis adalah bekas pesakit buah pinggang kronik. Pernah menjalani rawatan cuci darah (C.A.P.D). Sembuh daripada sakit ini selepas menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang pada tahun 2010, menerima buah pinggang ibu saudaranya.

“Kalau buah pinggang kecut masih boleh diubati! Produk kami ni mampu menghidupkan kembali sel-sel buah pinggang awak. Nanti selepas beberapa ketika buah pinggang awak akan kembang balik.”

Itu antara janji seorang penjual produk ajaib kepada saya dahulu. Setahu saya buah pinggang adalah anggota kekal seperti tangan, kaki, telinga dan sebagainya.

Adakah tangan yang putus akan tumbuh balik setelah makan produk ajaib itu? Adakah anggota tubuh manusia seperti ekor cicak? Boleh tumbuh semula apabila putus?

Pernah isteri saya bertembung dengan seorang peguam yang turut mempromosi ubat perawat sel yang didakwa sangat ajaib dan mampu mengubati segala penyakit atas “planet bumi.”

Isteri saya menolak dengan sopan dan mengatakan tarikh pembedahan buah pinggang sudah ditetapkan pihak Hospital Selayang. Si penjual ubat ajaib dengan yakin berkata:

“jangan buat pembedahan itu dahulu! Makan produk ini dahulu! Sebabnya apabila dah buat pembedahan maka tiada harapan lagi untuk sembuh!”

Apabila isteri saya berkeras tak mahu mendengar ceramah ubat ajaibnya, si penjual mula menyerang peribadi setelah melihat wajah isteri saya pada waktu ada sedikit jerawat:

“Kenapa muka awak tu berjerawat? Jerawat pun boleh diubati dengan produk saya ini!”

Pernah seorang kawan Ustaz mencadangkan agar saya mengambil perubatan Sunnah seperti madu dan sebagainya.

Saya tolak dan mengatakan fisiologi tubuh pesakit buah pinggang bukan lagi seperti orang normal yang mampu memproses apa sahaja yang masuk ke dalam badan. Kawan saya lantas berkata:

“Itulah masalah anta! Percaya sangat dengan perubatan moden.”

Saya hanya senyum sambil berkata dalam hati:

“Anda boleh cadangkan apa sahaja, tapi tubuh saya yang menanggung derita atau duka atas cadangan spekulasi anda. Bukan saya tidak percaya dengan perubatan nabawi tapi ia masih terbuka untuk perbincangan oleh para ulama’ hadith.”

Lalu pengalaman tahun 2009 menjengah minda. Pada waktu itu saya baru memulakan rawatan Dialisis Air atau dipanggil C.A.P.D. Dalam bulan Ramadhan tahun itu, saya mengimamkan solat terawih di Masjid Ibn Sina, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Ketika dalam solat;

“Dada saya berasa sangat tidak selesa. Jantung berdebar dengan tidak teratur.”

Dalam kalangan Jemaah kami ada seorang Doktor pakar. Beliau adalah Mejar Jeneral (b) Datuk Dr. Zin bin Bidin. Selepas solat beliau memeriksa rentak nadi saya dan menasihatkan saya agar mengurangkan pengambilan kurma.

Mengapa kurma? Bukankah kurma bagus untuk orang yang berpuasa? Rasulullah S.A.W sendiri pun berbuka puasa dengan kurma?

Lain halnya dengan pesakit buah pinggang. Kurma, pisang dan beberapa buah-buahan yang lain mempunyai kandungan potassium yang sangat tinggi.

Bagi tubuh yang normal, buah pinggang bertindak menstabilkan paras potassium dalam darah. Bagi pesakit buah pinggang, kandungan potassium tidak mampu diimbangi tubuh, lalu potassium berlebihan akan menggangu rentak jantung.

Pesakit buah pinggang yang tidak mengawal kandungan potassium boleh mendapat “serangan sakit jantung!”

Pernah seorang penjual ubat ajaib yang lain mengesyorkan saya mengambil produk soya yang dia jual.

Apabila saya maklumkan bahawa pesakit buah pinggang kronik tak boleh makan soya kerana ia akan membebankan buah pinggang yang sudah rosak, ini jawapannya dengan penuh yakin mengalahkan para doktor pakar:

“Produk soya kami ni lain! Ia sudah ditapis halus dan tak akan memberi kesan pada buah pinggang awak.”

Alhamdulillah! Allah memberikan saya kesabaran serta kecerdikan untuk mengelak daripada terjerumus ke dalam “fakta auta” si penjual ubat ajaib.

Setelah lama menderita sakit buah pinggang sejak tahun 2001, saya mulai menghargai kesihatan dan menghormati profesyen perubatan.

Pengorbanan mereka selama bertahun mempelajari ilmu perubatan adalah jihad yang sangat hebat.

Setelah lama berdamping rapat dengan para doktor sebagai “ahli kelab paksa hospital selayang” dengan rawatan susulan setiap 2 atau 3 bulan, saya semakin memahami firman Allah ini;

وَمَا أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Dan Kami tidak mengutus para Rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka bertanyalah kamu kepada orang berilmu jika kamu tidak mengetahuiSurah al-Anbiya’ [21:7]

Konteks sebenar ayat ini adalah bertanya kepada Ahli kitab tentang;

“Kemanusiaan Para Rasul.” Ia berpunca daripada sikap penduduk Mekah yang tidak percaya bahawa manusia seperti Rasulullah S.A.W boleh menjadi utusan Allah. Mereka beranggapan nabi sepatutnya muncul dari spesis malaikat. Ternyata orang Yahudi dan Nasrani mengakui tiada nabi yang pernah diutus dalam kalangan malaikat? Oleh itu mereka sepatutnya menerima Rasulullah S.A.W sebagai utusan Allah kepada merekaTafsir Ibn Kathir

Perkataan “أهل الذكر” atau orang berilmu dalam ayat ini jika diterjemahkan kepada bahasa moden adalah “Pakar Bidang.”

Beginilah cara al-Quran mengajar kita untuk hidup selamat di dunia dan di akhirat. Apabila buntu dan perlukan penjelasan, tanya ahlinya dan bukan percaya cakap sebarang orang. Tanyalah orang yang menghabiskan usia mengkaji atau mempelajari sesuatu bidang.

Jangan ditanya cara membuat bangunan dari seorang nelayan, kelak runtuh bangunan kerana kiraan besi dan simen yang tidak cukup.

Jangan juga ditanya hukum hakam berkaitan agama dari seorang pakar Matematik, kerana agama bukan subjek berkaitan nombor.

Jangan juga ditanya pak ustaz tentang cara memproses petroleum, kelak rosak enjin dan tangki kereta anda. Kesimpulannya, hormatilah pakar bidang!

Usahkan para penjual ubat ajaib, para doktor pun memiliki pengkhususan bidang yang berbeza. Setahu saya, tiada doktor yang serba tahu atau pakar semua bidang perubatan.

Jika kita jumpa seorang doktor yang pakar semua aliran dan bidang perubatan (nefrologi, urologi, bedah, radiologi, telinga, mata, hidung, otak, saraf, jiwa dan semuanya), sudah pasti doktor itu adalah jelmaan nabi Isa AS atau berasal dari planet lain.

Malangnya, semua kepakaran para doktor perubatan yang bertahun mengkaji perihal tubuh manusia langsung diatasi oleh para penjual ubat ajaib yang hanya “bermodal air liur, andaian dan spekulasi.”

Testimoni mereka pun masih terlalu jauh untuk menyaingi dapatan kajian dalam perubatan moden.

Tambah parah sesetengah penjual ubat ajaib ini berani menunggang agama dengan mendakwa ubat mereka adalah ubat yang disebut oleh Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadith:

لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ فَإِذَا أُصِيبَ دَوَاءُ الدَّاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Bagi setiap penyakit mempunyai ubatnya. Apabila sesuatu ubat menyentuh sesuatu penyakit, maka ia akan memberikan penyembuhan dengan izin Allah Riwayat Muslim

Hadith ini bukan semudah itu boleh diambil untuk menjadi “Maskot Atau Duta” ubat ajaib anda. Jauh bezanya antara ubat sebenar dengan spekulasi ubat tanpa bukti yang cukup!

Apa yang saya faham dari hadith ini adalah baginda Rasulullah S.A.W menyarankan kita agar mengkaji dan mencari ubat bagi penyakit yang dihidapi manusia. Tidak cukup hanya dengan mendakwa!

Pesan saya kepada para penjual ubat ajaib. Takutlah Allah! Jangan mencipta fakta palsu serba ajaib untuk ubat anda.

Jika ada pesakit yang semakin parah atas auta anda, Allah pasti membalasi dengan setimpal di akhirat kelak. Jangan reka fakta! Ingat amaran Rasulullah S.A.W ini;

إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ يَنْزِلُ بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ

Sesungguhnya seorang hamba (manusia) boleh sahaja bercakap sesuatu perkara yang tidak dapat dipastikan kebenarannya, lalu (perkara itu) Akan Menjerumuskannya semakin dalamke dalam neraka sejauh antara timur dan baratRiwayat al-Bukhari & Muslim

Itulah nasib kami yang menghidap sakit kronik. Sudah jatuh ditimpa tangga. Sakit kami memang meresahkan jiwa. Ketika para doktor berusaha merawat kami, para penjual ubat ajaib pun muncul kerana melihat kami adalah “Lubuk Emas” bagi mereka.

Kasihanilah kami! Apa yang kami fikirkan hanya kesembuhan! Derita yang kami lalui saban hari sangat memeritkan jiwa.

Jika dikata;

“Makanlah tahi lembu yang dicampur dengan tongkat ali dan madu hutan Amazon untuk penyembuhan”

Jangan terkejut jika ada yang sanggup buat untuk sebuah nikmat penyembuhan!

Tidak dinafikan, ada sesetengah penjual ubat ajaib ini ikhlas mahu membantu kami, tapi bantuan yang mahu diberikan biarlah berpada dan ada batasannya.

Jika bantuan anda boleh menjadi kapak yang akan membunuh kami, maka simpanlah kapak itu. Fisiologi tubuh kami sudah berbeza daripada orang yang sihat. Biarlah para doktor yang bertauliah merawat kami. Cukuplah kalian sekadar mendoakan kami sahaja.

Jangan pandang kami sebagai lubuk emas, sebaliknya lihatlah kami sebagai manusia yang perlu dikasihani.

Hidup ini bak roda! Ada masa kita berada di atas dan ada masa kita berada di bawah. Ada masa kita sihat dan ada masa kita sakit.

Apa agaknya perasaan anda wahai penjual ubat ajaib jika anak anda mati akibat salah makan ubat ajaib yang dijual oleh penjual yang lain? Fikirkan!

 

Sumber 1:  tazkirah.net
Sumber 2: tazkirah.net

Facebook Comments

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TERKINI

Menyediakan perkongsian blog,berita serta kisah-kisah menarik untuk anda

Hak Cipta Terpelihara © 2018 SuaraMedia.org

To Top