Majikan Yang Menyebabkan Pekerjanya Stress Boleh Dikenakan Tindakan.


Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengenakan tindakan ke atas majikan yang memberikan tekanan kepada pekerjanya.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap perkara tersebut, selain menegaskan untuk menjalankan siasatan termasuk mengambil tindakan undang-undang ke atas majikan yang tidak menghargai pekerja mereka.

“Kita tidak akan bertolak ansur dalam isu membabitkan keselamatan dan kesihatan pekerja. Jika ada penamatan kerja disebabkan isu tersebut, perkara ini hendaklah dilaporkan kepada kementerian.

“Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas majikan yang tidak tahu langsung untuk berterima kasih, apatah lagi mendera pekerja yang selama ini banyak berkhidmat dan memberikan sumbangan kepada majikan mereka,” katanya dalam sesi Pertanyaan Jawab-Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Abdullah Sani Abdullah Hamid (PKR-Kuala Langat).

Abdullah Sani dalam mengemukakan soalan tambahannya menyoal langkah kementerian dalam mengenakan tindakan terhadap majikan yang mendera pekerjanya.

“Apakah tindakan drastik kementerian untuk mengawal majikan yang mendera pekerja hingga mencetuskan tekanan yang menyebabkan masalah mental?” soal Abdullah Sani.

Sumber: Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *