Tetak Penyamun,Tuan Rumah Berdepan Hukuman Mati

 

Tuan rumah tetak penyamun berdepan hukuman mati | Mangsa samun di sebuah rumah di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, Johor, petang semalam, direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, mangsa samun yang bekerja sebagai pengaturcara di sebuah kafe siber itu ditahan reman sehingga 10 Januari ini bagi membantu siasatan kes yang kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

“Lelaki berusia 32 tahun itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan pada 8 malam semalam dan mendapat lapan jahitan di kepala sebelah kirinya, dan kini dalam keadaan stabil.

“Perintah reman dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama tujuh hari,” katanya.

Beliau berkata, bedah siasat ke atas suspek samun yang maut mengesahkan kematiannya disebabkan kesan tikaman di leher.

Katanya, mayat lelaki berusia 32 tahun itu masih belum dituntut dan dalam proses pemakluman kepada keluarganya.

Semalam, pemberita melaporkan seorang perompak yang bersenjatakan pemutar skru maut apabila ditetak mangsanya menggunakan pisau pemotong sayur dalam kejadian samun kira-kira 2.45 petang semalam.

Kejadian di rumah mangsa di Jalan Jenawi 3, Taman Puteri Wangsa itu berlaku akibat pergelutan antara mangsa dan suspek.

Mangsa parah di kepala dan pemeriksaan susulan membawa kepada penemuan seorang lelaki terbaring dan meninggal dunia di lorong belakang rumah mangsa.

Mangsa mengecam lelaki itu serta mengatakan dia adalah suspek yang memasuki rumah, mengugut menggunakan pemutar skru dan bergelut dengannya.

Dalam kejadian itu, semua barang mangsa yang dicuri suspek iaitu dompet, wang tunai sebanyak RM730, cincin emas dan telefon bimbit Motorola ditemui semula di poket kiri seluar suspek.

Sumber : sehinggit

 

 
Salahkah Pertahankan Diri di Malaysia?
Di dalam kaedah hukuman jenayah Islam, pembunuh yang membunuh tanpa sengaja atau membunuh tanpa niat, apatah lagi demi untuk mempertahankan diri hanyalah dikenakan ‘diat’ yang mana diat adalah denda yang wajib dibayar kerana kesalahan jenayah sebagai ganti qisas. Antara kesalahan yang diwajibkan hukuman diat sebagaimana yang telah disepakati oleh jumhur fuqaha ialah:

1- Membunuh dengan sengaja lalu ia dimaafkan oleh waris orang yang dibunuh
2- Membunuh tanpa sengaja, seperti membunuh perompak yang cuba membunuh kita
3- Membunuh seperti sengaja, seperti niat ingin membunuh tetapi tidak menggunakan alat yang boleh membunuh. Contohnya menggunakan telefon bimbit untuk memukul kepala si mati.

Di dalam al-Quran, Allah SWT telah mensyariatkan hukuman diat sebagaimana firmanNya:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ أَن يَقْتُلَ مُؤْمِنًا إِلَّا خَطَأً ۚ وَمَن قَتَلَ مُؤْمِنًا خَطَأً فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ وَدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰ أَهْلِهِ إِلَّا أَن يَصَّدَّقُوا ۚ فَإِن كَانَ مِن قَوْمٍ عَدُوٍّ لَّكُمْ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ ۖ وَإِن كَانَ مِن قَوْمٍ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُم مِّيثَاقٌ فَدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰ أَهْلِهِ وَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ تَوْبَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا

Maksudnya: “Dan tidak pantas bagi seorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali kerana tersalah tidak sengaja. Dan barangsiapa membunuh seorang mukmin kerana tersalah, hendaklah ia memerdekakan seorang hamba sahaya yang beriman serta membayar diat yang diserahkan kepada keluarganya (si terbunuh), kecuali jika mereka (keluarga terbunuh) bersedekah. Jika ia (si terbunuh) dari kaum (kafir) yang ada perjanjian (damai) antara mereka dengan kamu, maka (hendaklah si pembunuh) membayar diat yang diserahkan kepada keluarganya (si terbunuh) serta memerdekakan hamba sahaya yang beriman. Barangsiapa yang tidak memperolehnya, maka hendaklah ia (si pembunuh) berpuasa dua bulan berturut-turut untuk penerimaan taubat dari pada Allah. Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana…” (surah an-Nisa’: 92).

Antara maqasid syariah di dalam pensyariatan hukuman diat adalah demi untuk merealisasikan keadilan di antara sesama manusia. Islam bukanlah agama yang zalim. Islam tidak menghukum seseorang itu berdasarkan kecuaian dan juga ketidaksengajaannya, sebagaimana yang disebut di dalam satu hadith:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ إِنَّ اللهَ وَضَعَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوْا عَلَيْهِ (رَوَاهُ ابْنُ مَاجَه)

Maksudnya: Dari Ibnu Abbas RA daripada Nabi SAW bahasawanya baginda telah bersabda: “Sesungguhnya Allah telah memaafkan dari umatku kekeliruan, kealpaan dan apa-apa yang dipaksakan terhadap mereka…” (hadith riwayat Ibnu Majah, dinilai sahih oleh al-Albani).

Sumber: Infokini.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *